comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket penyeludupan PATI di Mersing tumpas




Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di sebuah rumah transit di daerah Mersing, awal pagi.

Turut diberkas 5 lelaki warga Indonesia berumur 21 hingga 49 tahun dipercayai ahli sindiket hasil risikan pemantauan selama 4 jam di lokasi yang terletak di kawasan ladang kelapa sawit.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi khas yang bermula jam 2.20 pagi tadi hasil risikan bersama pasukan polis daerah Kota Tinggi .

“Kesemua suspek yang ditahan cuba melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit dan ada yang bersembunyi di bawah katil di sebuah rumah pekerja ladang yang dipercayai dijadikan rumah transit bagi kegiatan penyeludupan.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menyeludup masuk PATI ke negara ini melalui laluan haram di perairan Johor.

“Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 untuk setiap kepala dan RM100 dikenakan untuk penghantaran ke rumah transit sebelum di hantar ke lokasi-lokasi lain” katanya pada sidang media di ibu pejabat Imigresen negeri Johor di Setia Tropika, petang tadi.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah.

Manakala seorang pekerja ladang turut di tahan dan disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen kerana melindungi PATI.

Sementara itu Datuk Mohd Rusdi turut memaklumkan pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan kad UNHCR yang didalangi warga Myanmar, dalam satu serbuan di sebuah premis di Kluang, pada 26 Jun lalu.

Turut diberkas 4 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar termasuk seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai agen sindiket berkenaan.

Ujarnya, kejayaan itu hasil risikan dan pemantauan pegawai Bahagian Penguatkuasa di rumah kedai dua tingkat itu selama 2 hari.

“Hasil pemeriksaan dipremis berkenaan berjaya menemui 3 lelaki warga Myanmar yang dikurung di premis berkenaan sejak 2 minggu lalu. Kunci premis hanya dikawal oleh agen terbabit” katanya.

Jelasnya, hasil soal siasat terhadap tiga lelaki berkenaan mereka mengakui tidak dibenarkan keluar oleh agen mereka kerana belum mendapat pekerjaan dan diarahkan untuk berada dalam premis sehingga ada majikan yang mengambil mereka bekerja.

Turut dirampas 2 pasport Myanmar, 12 keping Kad Arakan, sebuah telefon pintar, Borang Pendaftaran UNHCR dan wang tunai berjumlah RM15,855.00.

Tegasnya, siasatan mendapati sasaran utama sindiket ini adalah warga asing dari Etnik Arakan yang datang ke Kluang untuk bekerja namun mempunyai masalah dokumen perjalanan.

Sindiket mengenakan bayaran sekitar RM120 bagi satu permohonan Kad Arakan.

“Kita percaya sindiket ini telah aktif sejak 5-6 tahun lalu dan hanya tertumpu kepada etnik Arakan sahaja.” katanya lagi.

Loading...
Terkini