Tumpuan :
Nasional

Sindiket penipuan pembiayaan tumpas, enam suspek ditahan

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menahan enam individu, termasuk empat wanita dan dua lelaki, yang disyaki menyamar sebagai penjawat awam bagi menipu institusi kewangan dalam pembiayaan peribadi melibatkan jumlah RM1.32 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Hairi Khairudin, berkata penahanan dibuat susulan laporan polis oleh seorang pengurus institusi kewangan pada 28 Januari lalu.

“Siasatan mendapati antara Januari hingga April 2024, institusi kewangan terbabit meluluskan pinjaman kepada tujuh individu yang menyamar sebagai penjawat awam di Johor. Namun, mereka gagal membuat bayaran ansuran bulanan selepas menerima pembiayaan,” katanya.

Menurutnya, audit dalaman mendapati semua suspek menggunakan dokumen serta data palsu untuk mendapatkan kelulusan pinjaman.

Berdasarkan risikan, polis berjaya menahan kesemua suspek pada 10 Februari lalu di Terengganu, Johor, dan Selangor. Mereka berusia antara 26 hingga 55 tahun, termasuk seorang pegawai institusi kewangan yang dipercayai bersekongkol dengan peminjam lain.

Polis turut merampas wang tunai, 15 kad ATM, serta enam telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penipuan ini.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Kuala Terengganu pagi tadi dan direman antara tiga hingga empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan susulan bagi membongkar rangkaian sindiket ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini