Oleh : Baharudin Mohamed
SEMABOK: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengesan sindiket pernikahan ekspres, membabitkan pasangan warga asing, terutama etnik pelarian Rohingya di negeri berkenaan.
Kegiatan itu terbongkar selepas tertangkapnya seorang lelaki etnik Rohingya dan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki telah bernikah menggunakan sindiket itu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pulau Senang, Semabok awal pagi tadi.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, dalam serbuan itu, pasangan berusia 30 tahun itu mengakui bernikah di sebuah rumah di Melaka dengan bayaran hanya RM450 berserta sijil nikah.
Sindiket terbongkar apabila pasangan terbabit gagal menunjukkan sijil nikah yang sah kepada penguat kuasa JAIM.
“Hasil soal siasat, lelaki itu mendakwa diberikan sijil nikah itu daripada seorang ustaz selepas dia membayar RM450 untuk melangsungkan pernikahan di rumah mereka pada 2018.
“Pasangannya yang merupakan ibu tunggal pula mendakwa berkahwin dengan lelaki berkenan selepas enam bulan ditinggalkan suami tanpa melalui proses perceraian,”
Katanya, pihaknya akan membuka kertas siasatan berhubung kegiatan sindiket itu selepas menahan pasangan terbabit.
“JAIM sedang menyiasat kes berkenaan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman mendatangkan syak dan selepas ini, kita juga akan menyiasat sekiranya sindiket pernikahan warga asing ini masih aktif menawarkan perkhidmatan mereka,” katanya ketika ditemui media selepas mengetuai operasi bersepadu itu.
Sementara itu, operasi bersepadu selama tiga jam bermula 12 tengah malam itu melibatkan lima agensi termasuk polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Turut ditahan, 11 warga Nepal berusia antara 3 hingga 40 tahun selepas didapati tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah.
Operasi itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN, Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Jelasnya, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima pelbagai aduan daripada penduduk tempatan berhubung masalah sosial yang ditimbulkan etnik terbabit.
“Bila mereka berkumpul beramai-ramai, pelbagai masalah timbul termasuk membuat bising, membuang air kecil merata-rata selain turut mengganggu lalu lintas di kawasan ini. Malah golongan itu turut dipercayai terlibat dengan kes jenayah di sini,”
Masalah sosial membabitkan etnik Rohingya di sekitar Semabok terutama Kampung Pulau Senang pernah dipaparkan Buletin Utama menerusi segmen Aduan Rakyat pada 28 Januari lalu.