
SHAH ALAM: Sindiket penjualan barangan elektrik serta alat perkakasan secara dalam talian yang menjadikan tempat parkir aras sembilan sebuah pusat beli belah di Klang sebagai stor serta pusat operasi terbongkar.
Ini susulan serbuan operasi bersepadu yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor semalam, seorang lelaki berusia 40-an dipercayai pengurus serta pemilik syarikat tidak berdaftar berkenaan turut ditahan.
Menurut Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey tindakan serbuan di tempat parkir kenderaan itu adalah hasil daripada risikan yang diusahakan oleh pihak IPK Selangor selama tiga bulan sebelum dapatan risikan diperhalusi bersama dengan pihak KPDN Selangor sehingga membawa kepada tindakan serbuan.
“Hasil serbuan mendapati kawasan parkir kenderaan yang dianggarkan berkeluasan 743 meter persegi itu dijadikan stor menyimpan, membungkus, serta disyaki terdapat aktiviti menampal jenama (cap dagang) palsu ke atas barangan sebelum diuruskan untuk urus niaga secara atas talian.
“Jenis barangan yang ditemui semasa serbuan adalah barangan elektrik untuk kegunaan isi rumah, peralatan kerja tukang dan alat peranti komunikasi.
“Rampasan itu kemudian membawa kepada serbuan ke sebuah gudang di Kapar yang turut melakukan kegiatan sama,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDN Selangor di sini, hari ini.
Mohd Zuhairi berkata, kesemua rampasan itu melibatkan pelbagai barangan elektrik dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM26,685.
Katanya, sitaan dilakukan ke atas semua barang rampasan dan akan disimpan di bawah pengurusan ekshibit KPDN Selangor sepanjang proses siasatan.
“Potensi kesalahan melibatkan cap dagangan berdaftar dan boleh disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang mana sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,00 bagi setiap satu barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua duanya sekali bagi individu.
“Bagi syarikat pula, hukuman denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap satu barangan,” katanya.