Tumpuan :
Nasional

Sindiket curi-jual kereta dalam talian tumpas

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket curi dan jual kereta mewah dalam talian hasil tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, serbuan itu menahan enam lelaki berusia 30 hingga 56 tahun dipercayai ahli sindiket, manakala dalang utama bernama Thomas, 29, dan John, 35, masih diburu.

“Mereka ini yang turut mempunyai hubungan dengan orang dalam syarikat insurans akan melarikan kenderaan dan menukar nombor casis dan pendaftaran kereta berkenaan dengan nombor casis kereta jenis sama yang telah tidak lagi digunakan akibat kemalangan teruk (total lost).

“Kereta berkenaan kemudian dijual dengan separuh daripada harga semasa, di laman sesawang jualan tanpa diragui oleh pembeli,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Menurutnya, kumpulan itu disyaki melarikan dua buah kenderaan jenis Toyota Vellfire, sebuah kereta BMW dan sebuah kereta Honda Civic sejak tahun lalu di sekitar ibu negara dan di Ipoh, Perak.

“Susulan kes ini polis berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan dan pada masa ini memberi tumpuan mengesan dua individu penting dikenali sebagai Thomas, 29 tahun dan John, 35 tahun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun hingga 17 tahun dan denda,” katanya.

Beliau berkata, lima suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dijadikan saksi pendakwaan manakala seorang lagi suspek diserahkan kepada IPD Ipoh, Perak bagi membantu siasatan di sana.

Loading...
Terkini