Oleh: Juliana Sharin
PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, akan bertemu dengan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Zakaria Shaaban yang baharu dilantik sebagai 17 September lalu, dalam masa terdekat.
Ia bertujuan untuk mengemukakan beberapa cadangan kepada jabatan itu untuk tindakan tatatertib, hasil dari siasatan SPRM berkaitan sindiket ‘counter setting’.
“Kerana ramai kita telah tangkap, 50 orang. Saya juga ingin kongsikan di sini yang saya akan berjumpa dengan Ketua Pengarah JIM yang baharu, di mana kita ada lagi maklumat-maklumat yang saya rasa boleh dikongsi dengan pihak beliau untuk diambil tindakan dalaman oleh unit integriti beliau,” katanya.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu pada program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini.
Terdahulu, 49 penguat kuasa JIM dan seorang anngota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan SPRM kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’ di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2.
SPRM turut menahan seorang pengarah syarikat warga Bangladesh kerana disyaki dalang sindiket berkenaan.
“Kita nak mendakwa (suspek yang ditahan) tetapi saya jangkalah mungkin dalam bulan 10 ini. Saya nak tengok adalah (siasatan) kita telah disiap dan cuma kita kena bawa kepada pendakwa raya untuk keputusan mereka. Jadi kita akan cadangkan beberapa pertuduhan terhadap mereka,” tambahnya.
Sebelum ini, SPRM menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan JIM sehingga membuka ruang kepada sindiket ‘counter setting’.
Tan Sri Azam dilaporkan berkata kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai Imigresen mudah didekati oleh ejen sindiket.
Katanya, kelemahan lain ialah pusingan tempat kerja bagi pegawai Imigresen yang bertugas di lapangan terbang itu tidak sistematik.
Ketika ditanya sama ada berlaku isu ‘counter setting’ di lapangan terbang lain, Tan Sri Azam berkata perkara itu dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa