Tumpuan :
Nasional

Sindiket bawa masuk warga asing: Pengarah syarikat warga Bangladesh direman

Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dipercayai memberi rasuah kira-kira RM200 hingga RM25,000 kepada pegawai penguat kuasa, direman.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang pengarah syarikat warga Bangladesh yang disyaki menjadi ejen sindiket dengan memberi rasuah kepada pegawai peguat kuasa bagi membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi laluan kaunter khas (counter setting) direman dua hari.

Perintah reman sehingga esok itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dipercayai memberi rasuah kira-kira RM200 hingga RM25,000 kepada pegawai penguat kuasa.

Ia sebagai balasan melindungi, memudahkan urusan dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas warga asing yang tidak memenuhi syarat serta tidak mengikut prosedur yang sah.

“Penahanan tersebut adalah susulan tangkapan yang dilakukan sebelum ini.

“Suspek dipercayai bertindak sebagai seorang ejen serta menjadi orang tengah dan telah melakukan kesalahan tersebut di antara tahun 2022 hingga 2024.

“Suspek telah ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh SPRM sekitar Lembah Klang pada jam 8 malam semalam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, SPRM membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing, termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket terbabit disyaki didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini