comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket bawa masuk ‘ahli sukan’ tumpas, 21 warga asing ditahan

Oleh: Ing Boon Seng

 

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen membongkar taktik sindiket membawa masuk warga asing dengan menyamar sebagai ahli sukan kononnya akan bertanding dalam acara sukan di negara ini.

Warga asing terlibat akan tiba dengan berpakaian sukan dan menempah hotel di ibu negara sehari sebelum tarikh perlawanan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata pihaknya menumpaskan sindiket berkenaan hasil operasi khas di Taman Maluri, ibu negara, Khamis lalu.

Berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi digerak atur ke lokasi dan berjaya menahan 3 lelaki warga Bangladesh yang dipercayai dalang sindiket.

Pemeriksaan mendapati dua lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) manakala seorang lagi tinggal lebih masa di negara ini.

Turut ditahan di lokasi sama, 18 lelaki warganegara Bangladesh yang berusia antara 21 hingga 33 tahun.

Siasatan mendapati sindiket turut menempah tiket untuk pulang semula ke negara asal bagi meyakinkan pihak berkuasa.

Pasukan operasi turut merampas 18 naskhah pasport Bangladesh, warng tunai RM990 dan surat jemputan untuk menyertai pertandingan sukan beserta jadual pertandingan di negara ini yang dipercayai palsu.

Sindiket dipercayai mengenakan bayaran sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 untuk setiap warga asing yang dibawa masuk dan telah beroperasi sejak empat bulan lalu.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.

Dua lelaki warga tempatan diberikan Notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini