comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sindiket antarabangsa tumpas, Kastam rampas dadah hampir RM20 juta 

NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas merampas 269.75 kilogram (kg) pil ekstasi bernilai RM19.8 juta dan menahan dua lelaki tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, dadah terbabit diseludup dalam lori yang diikrar sebagai muatan mesin dan dikesan pada 20 Oktober lalu .

Ia hasil siasatan dokumen ‘waybill’ sebelum serbuan dilakukan Cawangan Narkotik dengan kerjasama Pasukan Medan Tempur Operasi Kastam (Cobra) di kawasan Damansara, Selangor.

“Mereka yang berusia 44 dan 57 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Damansara, Selangor pada 9.30 malam  dan pemeriksaan ke atas lori menjumpai kotak kayu yang disorokkan dalam guni, mengandungi sejumlah pil ekstasi jenis MDMA.

“Berat kasar dadah yang dirampas adalah 269.75 kg. Nilai anggaran rampasan adalah RM19.8 juta. Turut disita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan sebuah lori,” katanya pada sidang media, hari ini.

Sazali berkata,  sindiket  mengikrar muatan yang dibawa sebagai mesin bagi mengaburi pihak berkuasa dan siasatan awal mendapati barang dibawa masuk menggunakan laluan udara dari sebuah negara Eropah.

“Barang terlarang ini transit melalui sebuah negara di Timur Tengah sebelum tiba di Malaysia sebagai destinasi akhir,” katanya.

Jelasnya, penemuan awal kargo mencurigakan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membolehkan pasukan merancang operasi khas itu yang membawa kepada penahanan suspek.

Dalam pada itu, Sazali berkata pihaknya mematahkan satu lagi sindiket dadah dalam dua serbuan pada 11 dan 13 Oktober lalu dengan merampas 101.05 kg dadah dianggarkan bernilai RM5.73 juta.

Siasatan awal mendapati dagangan ini dimport melalui laluan udara dari negara Eropah dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi terakhir.

Loading...
Terkini