Oleh: Zahir Senapiah
MUAR: Polis memberkas enam lelaki warga Bangladesh yang disyaki menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa lesen (Ah Long) di sekitar bandar ini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Muhliz Azman Aziz berkata, semua suspek berumur 26 hingga 40 tahun ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis.
Katanya, turut dirampas beberapa barang yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen berkenaan.
“Antara barangan yang dirampas 7 buah telefon pelbagai jenama, 5 beg silang, 187 keping kad ATM pelbagai bank dan wang tunai berjumlah RM176,250,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati suspek menyasarkan warga asing termasuk warga Bangladesh dengan mengenakan jumlah kadar faedah tertentu dan bertindak menyimpan kad bank milik mangsa hingga hutang selesai.
Kesemua suspek direman selama 3 hari bermula hari ini hingga 10 November.
Kes disiasat dibawah seksyen 5(2) Akta pemberi pinjaman wang 1951. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda hingga RM 1 juta atau penjara maksima 5 tahun atau keduanya sekali.
Beliau menasihat orang ramai agar tidak mudah terjebak dengan pinjaman yang diragui bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.