
KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berhasrat menyimpan atau memelihara ular sawa perlu mendapatkan lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata ular sawa adalah spesies hidupan liar dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
“Mana-mana pemegang lesen menyimpan adalah tertakluk mematuhi syarat lesen ditetapkan termasuk aktiviti berkaitan seperti pelepasan semula hidupan liar yang memerlukan kebenaran pegawai pelesen.
“Mana-mana orang yang menyimpan dan melepaskan hidupan liar tanpa lesen sah, melakukan kesalahan mengikut Akta 716 dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Jabatan PERHILITAN menahan dua individu disyaki melepaskan tiga ular sawa dalam longkang di Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights, Subang Jaya.
Kedua-dua lelaki berusia 35 dan 53 tahun terbabit ditahan di sebuah rumah berhampiran kawasan kejadian.
Jabatan PERHILITAN Selangor dalam kenyataan memaklumkan, aduan polis diterima susulan laporan orang awam mengenai tindakan dua lelaki dan seorang wanita didakwa melepaskan tiga ular di kawasan perumahan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.