Tumpuan :
Nasional

Simpan maklumat penyelewengan satu kesalahan, kata peguam kepada Hamzah

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Setiausaha Agung BERSATU, Hamzah Zainudin sepatutnya membuat laporan polis jika mempunyai pengetahuan mengenai salah laku pemimpin kerajaan  susulan kenyataannya “ada banyak fail” ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.

Laporan FMT memetik beberapa peguam yang mengingatkan Hamzah adalah menjadi kesalahan bagi beliau menyimpan maklumat penyelewengan itu.

Menurut mereka, apa yang diperkatakan Hamzah seolah-olah beliau mengetahui salah laku itu.

Justeur, mereka mempersoalkan mengapa Hamzah tidak mengambil tindakan ketika menjadi menteri.

V Vemal Arasan berkata, Hamzah sepatutnya membuat laporan polis sekiranya mengetahui sebarang penyelewengan yang kononnya berlaku.

Katanya, menyimpan maklumat berhubung jenayah merupakan kesalahan.

“Beliau mendakwa ada ahli politik dalam kerajaan hari ini melakukan penyelewengan. Mengapa tiada tindakan diambil sebelum ini,” katanya .

“Beliau sepatutnya mengetahui perkara itu (kesalahan menyimpan maklumat jenayah) kerana pernah menjadi menteri dalam negeri beberapa tahun,” katanya sambil menambah Hamzah dianggap bersubahat sekiranya beliau tidak bertindak selepas mengetahui salah laku.

Semalam, Hamzah dipetik Malaysiakini, memberitahu kerajaan supaya jangan mencari salah Perikatan Nasional kerana beliau juga boleh berbuat demikian terhadap parti seteru.

Hamzah dalam wawancara baru-baru ini, mendakwa beliau ada “banyak fail berkenaan mereka juga” .

“Saya pernah jadi menteri dalam negeri. Saya rasa saya ada banyak fail berkenaan mereka juga, (terpulang) sama ada saya nak gunakannya atau tidak,” katanya dipetik.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla pula berkata tiada guna bagi Hamzah membuat kenyataan retorik terhadap seteru politik memandangkan beliau boleh bertindak ketika menjadi menteri dalam negeri.

“Beliau tidak boleh simpan (‘fail’ itu) dan kemudian ingin digunakan bagi tujuan politik. Pada masa lalu, kita mendengar ada yang mendakwa mempunyai ‘enam kotak’ fail berhubung penyelewengan kerajaan, namun sehingga ke hari ini tiada yang tampil ke depan,” katanya.

Haniff merujuk kepada bekas pemimpin PKR, Ezam Noor, pada 1998 mendakwa mempunyai “enam kotak bukti” rasuah dilakukan pegawai tinggi kerajaan ketika era pentadbiran pertama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Rajesh Nagarajan, berkata kegagalan Hamzah bertindak berkait mempunyai fail dakwaan penyelewengan merupakan pengabaian dan kecuaian sebagai penjawat awam.

“Anda tidak boleh membiarkan perkara itu begitu sahaja. Beliau sepatutnya segera mengambil tindakan dan menggesa polis membuat siasatan. Beliau tidak patut menyimpan (kononnya) bukti dan hanya menggunakannya jika terdesak,” katanya.

Loading...
Terkini