comscore
Tumpuan :
Nasional

Simpan arak seludup di rumah terbiar

Oleh: Selwam Arjunan

BUTTERWORTH: Taktik sindiket penyeludupan yang menggunakan rumah terbiar sebagai tempat simpanan minuman keras tidak bercukai gagal, apabila diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, awal bulan ini.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Roselan Ramli berkata pihaknya merampas minuman keras pelbagai jenama bernilai RM251,767.20 dalam serbuan pada 4 Julai lepas.

Katanya, Unit Marin Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang yang menjalankan rondaan pesisir pantai telah memantau sebuah premis tidak berpenghuni di Jalan Kota Giam, Jelutong.

Selepas pemantauan selama satu hari dan mendapati tiada pergerakan, pasukan itu menyerbu premis berkenaan pada jam 6.30 petang.

“Hasil pemeriksaan, sejumlah 21,648 tin minuman keras jenis bir dengan nilai anggaran RM45,994.80 dan cukai berjumlah RM205,772.40 disyaki tak berkastam dirampas.

“Sebahagian daripada minuman keras ini bertanda ‘Malaysia Duty Not Paid’ iaitu untuk pasaran di Zon Bebas atau dieksport, manakala sebahagian lagi dipercayai diimport secara tidak sah kerana tiada setem cukai,” katanya dalam sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam di Bagan Jermal, di sini.

Ujarnya, siasatan mendapati sindiket penyeludupan mengenalpasti premis terbiar untuk dijadikan tempat pemindahan kurang berisiko.

“Siasatan awal mendapati pemilik premis tersebut telah meninggal dunia dan premis dalam keadaan rosak serta terbiar.

“Modus operandi yang digunakan sindiket dengan menyimpan minuman keras tak berkastam di premis terbiar dan di kawasan perkampungan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya lagi.

Katanya, kesemua minuman keras yang dirampas dipercayai untuk pasaran di utara Semenanjung Malaysia.

Pihak kastam masih mengenalpasti suspek yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan itu.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini