
JOHOR BAHRU: Siling sebuah pusat membeli-belah terkenal di bandar raya ini runtuh petang semalam, ketika orang ramai berada di premis berkenaan.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan akibat insiden itu.
Video berdurasi 50 saat yang merakam detik runtuhan itu turut tular di beberapa platform media sosial.
Difahamkan, insiden berlaku di tingkat satu pusat membeli-belah terbabit yang menempatkan beberapa kiosk serta restoran.
Runtuhan menyebabkan sebahagian struktur siling jatuh dan menimpa beberapa premis perniagaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat, ketika dihubungi, memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian itu.
Sementara itu, Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor juga mengesahkan mereka tidak menerima sebarang aduan mengenai insiden itu.
Hasil tinjauan di lokasi petang tadi mendapati pekerja sibuk menjalankan kerja-kerja membaik pulih bahagian siling yang runtuh.
Cubaan mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan pusat membeli-belah bagaimanapun tidak berjaya, kerana pegawai difahamkan sedang bercuti sempena hujung minggu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.