comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Siling masjid jatuh ketika dalam kerja pembaikan

JOHOR BAHRU: Siling Masjid Taman Pulai Indah di sini tidak runtuh seperti yang ditularkan di media sosial.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin itu berlaku apabila beberapa keping panel siling terjatuh ketika kerja-kerja menurunkan keseluruhan siling masjid.

Foto tular

“Kami ke masjid yang didakwa mengalami keruntuhan siling dan alhamdulillah rupa-rupanya cerita menyatakan siling itu runtuh tidak tepat.

“Sebenarnya apa yang berlaku ialah lebih kurang seminggu yang lalu, dua panel siling jatuh, jadi atas situasi itu pihak pengurusan masjid mengambil tindakan bertanggungjawab dengan menghubungi konsultan dan membuat pelantikan kontraktor.

“Selepas tinjauan dan pemeriksaan penuh, mereka dinasihatkan supaya keseluruhan siling itu diturunkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya selepas melakukan tinjauan di masjid berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj), Jamaludin A Hamid.

Mohd Fared berkata, pihak pengurusan masjid hanya mengambil langkah keselamatan dan siling itu terjatuh ketika kerja pembaikan sedang buat.

“Ini langkah yang sangat baik tanda pihak masjid sangat bertanggungjawab, memahami keperluan keselamatan jemaah.

“Jainj dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan untuk melakukan pemeriksaan terperinci bagi memastikan aspek keselamatan di masjid berkenaan pada masa hadapan.

“Kira harap kerja ini dapat diselesaikan secepat mungkin, walaupun siling belum diganti, tetapi selagi mana bumbung dan asasnya selamat, mungkin ruang solat boleh digunakan selagi tidak mengganggu keselamatan jemaah,” katanya.

Beliau turut berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi hingga menimbulkan ketakutan di kalangan jemaah dan kariah masjid.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Taman Pulai Indah, Alpian Jamid berkata, pihak pengurusan masjid mengambil langkah segera dengan melantik kontraktor luar selepas menyedari siling masjid dalam keadaan kurang baik sejak sebulan lalu.

“Bila berlaku panel siling jatuh, pengurusan masjid ambil inisatif panggil pihak konsultan untuk beri nasihat sama ada selamat atau tidak untuk digunakan.

“Namun, kami ambil keputusan untuk turunkan semua panel siling dan ia dibuat pada waktu selepas solat Isyak dan sebelum Subuh.

“Maka, kontraktor akan membuat kerja menurunkan mengikut panel dan kejadian itu berlaku pada satu bahagian di mana kontraktor sedang menurunkan siling sedia ada.

“Mungkin jumlahnya agak banyak dan video itu yang pada mulanya diambil untuk tujuan peribadi, telah disalah guna.

“Pihak masjid memohon ampun dan maaf di atas kekilafan atau mungkin ada kekeliruan. Mohon kepada semua supaya berhenti menyebarkan video yang viral itu,” katanya.

Alpian berkata, buat masa ini, satu khemah besar didirikan di perkarangan luar masjid bagi membolehkan jemaah menunaikan solat fardu dan solat Jumaat.

Masjid Taman Pulai Indah yang mula dibina pada 2015 siap dua tahun kemudian mampu menampung kira-kira 3,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Loading...
Terkini