Oleh: Abdullah Sani
KUALA LUMPUR: Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia telah berjaya mendekatkan pelbagai lapisan masyarakat melalui Program Semarak Seni Silat Warisan Kita di perkarangan sebuah Kompleks membeli belah di ibu negara, semalam.
Pada kali ini, PSSCM mempelbagaikan pendekatan perlaksanaan program dengan menetapkan konsep riadah santai sebagai tema program.
Aktiviti di dalam program adalah persembahan pemuzik jalanan (Buskers) dari kumpulan Genji Buskers, demonstrasi oleh Persatuan Adithada WPKL (Silambam), Classic Wushu Academy (Wushu) dan Silat oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).
Pada program ini juga pengunjung berpeluang mengenali lebih rapat Seni Silat Cekak Malaysia melalui peluang berinteraksi dan mempelajari seni mempertahankan diri dengan perkongsian kaedah tangkisan dan Senam Ta Ba Ta silat iaitu senaman yang mengandungi pergerakan Seni Silat Cekak Malaysia.
Kemuncak acara adalah Pelancaran Logo Baharu PSSCM oleh Datuk Maideen Kadir Shah, Guru Utama & Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan Tunku Dato’ Prof. Sr. Dr. Fauzi Abdul Malek Al-Haj Timbalan Penaung Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.
“Logo baharu ini adalah satu inovasi PSSCM bagi menyesuaikan dengan zaman. Ini merupakan penambaikan lanjutan dari Seni Silat Cekak Malaysia yang pada hari ini berusia 58 tahun dan dinaungi oleh KDYMM Sultan Kedah,” ujar Datuk Maideen Kadir Shah.
Tambah beliau, tulisan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di dalam bulatan kuning mengelilingi lambang sedia ada adalah simbolik bahawa Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia merupakan Pemilik Mutlak Seni Silat Cekak.
Dianggarkan hampir 500 pengunjung hadir dan tidak berganjak menyaksikan persembahan dan mereka jelas teruja menonton secara dekat penampilan tiga seni bela diri yang menyajikan gerakan-gerakan yang menarik.
Demografi pengunjung yang hadir dari pelbagai kaum, kategori masyarakat dan peringkat umur nyata berjaya menyemarakkan semangat perpaduan seiring dengan konsep Madani negara.