
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin & Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Tingkah laku perkauman dan kenyataan berbaur diskriminasi tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan bahawa tindakan sedemikian bukan sahaja menyakitkan hati tetapi turut menggugat keharmonian kaum di negara ini.
“Tingkah laku perkauman, kenyataan berbaur diskriminasi dan retorik yang memecahbelahkan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja menyakitkan hati tetapi juga menjejaskan keharmonian kaum.
“Insiden seperti kes terbaru yang melibatkan seorang pemilik gerai yang menggunakan kata-kata menghina terhadap komuniti India perlu ditangani dengan segera,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru pemimpin masyarakat dan agama, serta seluruh rakyat Malaysia untuk memainkan peranan dalam memupuk nilai keterangkuman dan saling menghormati.
Jelas beliau, kerjasama itu penting dalam membina sebuah masyarakat yang melayan setiap individu dengan bermaruah, tanpa mengira kaum, etnik, atau agama.
Katanya prinsip perpaduan dan budaya hormat-menghormati harus menjadi pegangan dalam membina Malaysia yang harmoni dan makmur untuk semua.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.