Tumpuan :
Nasional

Sijil halal kedai bakeri ditarik balik, disyaki guna berus DNA babi

KOTA KINABALU: Sijil halal kedai bakeri yang beroperasi di sebuah pusat membeli-belah terkenal, di sini, ditarik balik oleh kerajaan negeri.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif tindakan itu susulan terdapat dakwaan kedai bakeri terbabit menggunakan berus yang mengandungi DNA babi.

Katanya perkara itu akan disiasat dan mendapat maklumat daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi MUIS Halal Hab (MHH).

“Saya akan mendapatkan maklumat daripada MHH tentang perkara ini. Seperti biasa, jika ia (didapati) berlaku, kita akan ambil tindakan yang sepatutnya.

“Ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) kita termasuk memberhentikan premis berkenaan. Di samping itu kita juga akan memberikan kesedaran berterusan kepada masyarakat berkenaan perkara ini.

“Tahun lalu, ada berlaku kejadian ini dan kita sudah mengambil tindakan. Mereka (premis) sudah memperbaiki perkara berkenaan.

“Setelah kita memastikan ia tidak akan berlaku lagi, barulah kita akan memberi mereka peluang untuk beroperasi dengan logo kita. Namun mereka juga akan terus kita pantau dan bertegas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian BIMP – EAGA Cyber Security Summit 2023 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata kedai bakeri terbabit boleh dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya didapati menyalah gunakan logo halal di premis.

Sementara itu, surat berkenaan permohonan sertu halal ke atas premis kedai bakeri itu tular di laman media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan dikalangan orang ramai.

Loading...
Terkini