Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Pengarah urusan sebuah agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah ditahan sepasukan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kegagalan menerbangkan jemaah umrah ke Mekah semalam.
Difahamkan pengendali itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, (JSJK) Selangor kira-kira jam 6.45 petang tadi setelah selesai mengadakan sidang media dan perjumpaan bersama dengan jemaah terlibat.
Difahamkan penahanan ini susulan laporan polis dibuat oleh jemaah semalam yang menuntut penjelasan terhadap kegagalan penerbangan berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan tersebut dan polis turut merampas dokumen berkaitan semasa serbuan di pejabat urusan syarikat berkenaan di Sepang petang tadi.
Kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan turut dibuka.
Terdahulu sidang media yang bermula tenang, bertukar kecoh dan tegang apabila ada jemaah yang tidak bersetuju dengan tawaran dikemukakan pihak syarikat.
Kebanyakkan mereka menuntut diberikan wang pampasan segera.
Bagaimanapun pihak peguam yang mewakili syarikat itu, Iman Norhizam memaklumkan, syarikat akan membuat surat aku janji (letter of undertaking) yang menawarkan tiga penyelesaian.
Iaitu pemulangan wang 100 peratus yang akan diberikan dalam tempoh tiga ke empat minggu.
Juga, penjadualan semula tiket penerbangan bagi jemaah yang masih ingin meneruskan ibadah umrah bersama syarikat itu serta pemberian wang RM5,000 sebagai kos bayaran penginapan jemaah sepanjang tempoh terkandas ini.