Oleh: Azwaliza Azman
KAHERAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas dari Kaherah, Mesir ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam yang dijadual berlangsung hari ini.
Pesawat khas yang membawa beliau berlepas jam 7.17 malam tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.
“Insya-Allah, saya akan membawa suara dan mandat rakyat Malaysia semasa Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas warga Palestin dan Lubnan,” katanya dalam satu kenyataan sebelum berlepas ke Riyadh.
Beliau yang sebelum itu menyampaikan syarahan umum di Universiti Al-Azhar di Kaherah di hadapan lebih 1,500 kakitangan dan pelajar, melahirkan harapan supaya sidang berkenaan akan mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan konflik di Palestin.
“Kita adakan mesyuarat tergempar negara Islam dan Arab di Riyadh. Jadi saya dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi ke Riyadh untuk bincang perkembangan terakhir Gaza dan Palestin,” katanya dalam syarahan umum bertajuk Teguh Bersama: Visi bagi umat Islam menerusi pemerkasaan teknologi, sosial dan ekonomi.
Datuk Seri Anwar turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Mesir, yang telah memudahkan Malaysia untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden dan kerajaan Mesir kerana bantuan mereka yang luar biasa untuk memudahkan Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang tertindas dan dizalimi di Gaza.
“Terima kasih juga kerana telah mengirim dua pesawat tentera ke Rafah untuk mengambil pesakit Palestin untuk ditempatkan di hospital tentera di Malaysia,” katanya yang berada di Mesir bagi lawatan rasmi empat hari.
Terdahulu, Perdana Menteri pada 1 November lalu mengesahkan telah menerima undangan daripada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bagi menghadiri sidang berkenaan di Riyadh.
Datuk Seri Anwar akan kembali ke Kaherah selepas sidang berkenaan bagi meneruskan lawatan rasminya di Mesir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.