comscore
Tumpuan :
Nasional

Sidang Kemuncak ASEAN ke 44 dan 45: Vientiane jadi tumpuan pemimpin rantau Asia Tenggara

Oleh: Syafiqah Damanhuri

VIENTIANE: Ibu negara Laos menjadi tumpuan pemimpin rantau Asia Tenggara sempena Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-44 dan 45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung bermula 8 hingga 11 Oktober.

Persidangan itu dijadualkan bertempat di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini dengan semua mesyuarat akan dihadiri ketua-ketua negara dan kerajaan negara anggota ASEAN.

Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud bakal memberikan sidang media yang dijadualkan pada jam 3 petang waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).

Selain itu, media semalam melaporkan lebih 2,000 delegasi dijangka menghadiri sidang kemuncak itu yang turut disertai negara rakan dialog, serta negara rakan luar termasuk wakil daripada organisasi serantau dan antarabangsa.

Menurut aturan jadual, Mesyuarat Menteri Luar ASEAN akan secara rasmi memulakan sidang kemuncak pada 8 Oktober.

Majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN serta Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung pada 9 Oktober dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan kenyataan Malaysia semasa sesi itu.

Manakala, pada 11 Oktober, Laos akan secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini