Oleh: Syafiqah Damanhuri
VIENTIANE: Sidang Kemuncak ASEAN kali ke 44 dan 45 yang berlangsung di ibu negara Laos, di sini membuka tirai dengan kehadiran pemimpin-pemimpin dari negara anggota blok itu.
Ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama wakil negara lain disambut Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan isterinya di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC).
Ia turut dihadiri Ketua Negara ASEAN lain, termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Indonesia pula diwakili Naib Presiden, Ma’ruf Amin yang mewakili Presiden Joko Widodo atau Jokowi.
Datuk Seri Anwar dijangka menyampaikan Kenyataan Negara di Sesi Pleno Ketua Negara ASEAN selepas acara perasmian.
Selepas itu, beliau dijadualkan menghadiri beberapa persidangan lain yang berkaitan termasuk ASEAN Leaders’ Interface with Representative of ASEAN Inter-Parliamentary (AIPA), Mesyuarat Dua Hala bersama Perdana Menteri Timor Leste dan ASEAN Leaders’ Interface with Representatives of ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC).
Di sebelah malam nanti, Perdana Menteri akan turut menghadiri Majlis Makan Malam anjuran Duta Besar Malaysia ke Laos di Rumah Malaysia di sini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.