ISKANDAR PUTERI: Seramai 177 orang kurang upaya (OKU) di negeri ini bekerja di sektor awam dan swasta, sehingga Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail, berkata ia berbanding seramai 997 OKU yang berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dari 2011 hingga Oktober lalu.
Katanya, 45 OKU di negeri ini juga menerima bantuan peralatan perniagaan dan berjaya menghasilkan pendapatan sendiri, terutama perniagaan kecil sejak 2017.
“Dengan kepesatan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang tinggi, YPKDT telah memperkenalkan inisiatif program menjana pendapatan sendiri kepada OKU.
“Ia bagi memastikan OKU yang telah berdaftar di negeri ini tetapi tidak dapat ditempatkan bekerja di sektor terbuka, tidak terpinggir dan mendapat sumber pendapatan.
“Antara inisiatif dan kursus yang dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran golongan OKU negeri ini ialah ‘house keeping’, baik pulih komputer, gajet selain urutan dan spa,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Amira Aisya Abd Aziz (MUDA-Puteri Wangsa) yang ingin tahu inisiatif kerajaan Johor untuk memperkasakan golongan OKU negeri ini.
Khairin Nisa yang juga ADUN Serom berkata, pada 2020 ketika negara berdepan dengan wabak COVID-19, Program Latihan dan Promosi (PLP) bagi melatih golongan OKU tetap diteruskan.
Katanya, program PLP itu diadakan dengan pelaksanaan Kursus Asas Kemahiran secara dalam talian membabitkan 49 peserta.
“Untuk tahun ini pula, Program Bangkit OKU telah diperkenalkan di Johor.
“Seramai 85 OKU di negeri ini telah mengikuti kursus yang dijalankan.
“Inisiatif ini dilaksanakan khusus bagi memperkasakan OKU negeri ini bagi tujuan penempatan pekerjaan dan menjana pendapatan,” katanya.