Oleh Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah bersetuju supaya pelaksanaan rangkaian 5G negara beralih daripada Rangkaian Borong Tunggal (SWN) kepada model dwirangkaian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat atas beberapa justifikasi utama.
“ Meningkatkan persaingan sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan Digital Nasional Berhad (DNB) dalam masa sama menawarkan kepelbagaian rangkaian dan mengatasi isu titik kegagalan tunggal dalam model SWN melibatkan syarikat-syarikat telekomunikasi dengan lebih terangkum.
Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail di sidang Dewan Rakyat pagi ini.
Tambahnya peralihan terbabit adalah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh Kerajaan terhadap pihak penyedia perkhidmatan.
Ujarnya lagi, syarat utama yang ditetapkan ialah peralihan kepada model dwirangkaian hanya akan berlaku selepas pelaksanaan oleh DNB mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.
Katanya pemilik rangkaian 5G kedua kelak akan turut dikenakan syarat-syarat ketat sama seperti dikenakan terhadap DNB bagi memastikan penyediaan liputan 5G yang menyeluruh dan berkualiti.