KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun, mengetuai 222 anggota Dewan Rakyat mengangkat sumpah pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang memulakan persidangan hari ini.
Upacara mengangkat sumpah itu diikuti kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (GRS-Petra Jaya).
Ia diteruskan dengan Ahli Parlimen Seremban yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).
Giliran majlis angkat sumpah itu dimulai dengan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan, yang didahului barisan menteri dan timbalan menteri diikuti Ahli Parlimen pembangkang.
Hanya Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan diberi laluan untuk mengangkat sumpah dari tempat duduknya di dalam Dewan Rakyat kerana beliau tidak boleh berjalan ke mimbar yang ditetapkan atas faktor kesihatan.
Uniknya pada upacara itu, dua Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen iaitu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shaari (PH-Gombak), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin (PH-Port Dickson) dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan).
Bagi blok pembangkang, giliran angkat sumpah dimulai dengan ketua pembangkang, merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, diikuti Ahli Parlimen Pagoh yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin serta Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
222 Ahli Parlimen dipilih bagi mewakili 222 kawasan pilihan raya pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) pada 19 November lalu.
Terdahulu, urusan sidang khas Dewan Rakyat pagi tadi bermula dengan aturan untuk melantik Speaker Dewan Rakyat.
Sesi itu dikendalikan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.
Selain pemilihan speaker, timbalan speaker dan undi percaya terhadap Perdana Menteri, sidang Dewan Rakyat selama dua hari hingga esok turut dijangka meluluskan usul mini Belanjawan 2023.