KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) berkaitan isu tadbir urus agensi itu masih berjalan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata SPRM juga melihat daripada aspek ketidakpatuhan dan tatakelola serta semua kemungkinan isu rasuah yang terbabit, seperti salah guna kuasa selaras dengan Akta SPRM 2009 (Akta 694).
Selain itu, SPRM juga melihat kepada kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), termasuk berkaitan penipuan.
“Justeru, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan itu berdasarkan subseksyen 29(4) Akta SPRM 2009 yang menyatakan mana-mana siasatan itu hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai perkembangan terkini siasatan SPRM terhadap pengurusan HRD Corp dan adakah kes itu sudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Pada Julai tahun lalu, SPRM menyiasat HRD Corp susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 berikutan ada beberapa keputusan diambil agensi itu didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
Sebelum itu, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan oleh program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai kegiatan pelaburan.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 sebelum ini dilaporkan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dilakukan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.