
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa siasatan terhadap empat pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri ke-9 masih di peringkat awal.
Dalam satu kenyataan, SPRM menjelaskan bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Susulan siasatan ini, SPRM belum boleh mendedahkan hasil penemuan, termasuk nilai wang atau aset yang dijumpai. Namun, kami tidak menolak kemungkinan lebih ramai saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, SPRM menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan teliti.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata bahawa pihaknya akan memanggil beberapa individu lain sebagai saksi dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.