Tumpuan :
Nasional

Siasatan telus insiden tembakan APMM – Anwar

Anwar (tengah) menggaul Yee Sang pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Kanthan Baru, di Ipoh, hari ini. – Foto NSTP

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa siasatan rapi dan telus akan dilakukan berhubung insiden tembakan membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan lima warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Banting, pada 24 Januari lalu.

Perdana Menteri berkata, siasatan itu susulan dakwaan bahawa APMM menggunakan kekerasan berlebihan sehingga menyebabkan seorang maut dan empat lagi cedera.

“Pagi tadi saya sudah minta supaya laporan hasil siasatan awal disampaikan kepada pihak Kedutaan Indonesia (untuk diteliti).

“Indonesia adalah negara sahabat, saya beri jaminan siasatan kita akan cukup rapi, cukup telus dan tidak melindungi sesiapa.

“Kita tak mahu insiden ini mengganggu hubungan baik antara tetapi negara ini mesti ikut hukum,” katanya ketika hadir pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Kanthan Baru, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Berhubung insiden Kedutaan Malaysia di Jakarta dibaling telur oleh sekumpulan penunjuk perasaan, semalam, Perdana Menteri mengingatkan rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak membalas insiden itu agar tidak berlarutan.

“Kita ikut hukum dan kita faham kadang-kadang kemarahan (ekoran) laporan tak bertanggungjawab yang menghangatkan suasana, menghukum tanpa fakta dan sebelum siasatan selesai,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, dalam insiden itu, dua suspek yang dipercayai warga asing yang berada di atas bot, didakwa cuba menyerang pegawai Maritim Malaysia dengan parang sekitar jam 3 pagi, selepas mereka merempuh bot pegawai berkenaan sebanyak empat kali.

Pegawai Maritim Malaysia melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot suspek sebagai tindakan mempertahankan diri.

Namun, suspek melarikan diri dalam kegelapan malam.

Pada jam 9 pagi hari sama, Maritim Malaysia menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah bot yang hanyut di pantai Banting.

Maritim Malaysia menemui bot berkenaan dan mendapati dua lelaki di dalamnya. Seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk rawatan.

Hussein turut mengesahkan bahawa polis menerima laporan mengenai tiga lelaki, yang disyaki warga asing, yang mengalami kecederaan tembakan.

Mereka telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah di Serdang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini