PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi di bawahnya kini sedang giat meneruskan siasatan berhubung kes pencerobohan sistem penyata gaji (ePenyata Gaji) penjawat awam.
Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md Saad berkata, bagaimanapun pihaknya enggan mengulas lanjut dan hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas satu-satu perkara itu sahih.
“MKN bersama agensi yang berkaitan masih meneruskan siasatan, (siasatan dibuat) mengikut trend, kolerasi dan punca kepada kebocoran itu, selepas itu tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
“Kita perlu memastikan sesuatu perkara itu betul dan sahih dahulu baru kita akan buat kenyataan berhubung isu berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Konvensyen Pegawai Keselamatan ICT Malaysia anjuran Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), disini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, kerajaan sudah mendapat petunjuk dalam kes pencerobohan berkenaan dan hanya NACSA akan mengeluarkan kenyataan berkaitan isu itu.
Media sebelum ini melaporkan, penggodam menggelarkan diri mereka daripada organisasi keselamatan siber ‘gray hat’ mendakwa menceroboh ePenyata Gaji penjawat awam, bagi menunjukkan kelemahan sistem itu.
Menerusi e-mel ditujukan kepada media sebelum disiarkan Sin Chew Daily, kumpulan itu turut mendakwa dapat mengakses lebih sejuta baris identiti melalui pangkalan data sistem terbabit dalam format JavaScript Object Notation (JSON) dan comma-separeted values (CSV).
Antara maklumat yang diakses termasuk nama penuh, nombor MyKad, jawatan, jabatan, nombor slip gaji, nombor telefon bimbit, dan alamat e-mel, selain mengekstrak hampir dua juta slip gaji dan borang cukai dalam format PDF dengan jumlah saiz fail 188.75GB.
Menurut laporan Sin Chew Daily, kumpulan itu turut melampirkan beberapa tangkap layar slip gaji beberapa menteri dan ahli politik seperti Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
Kumpulan itu menyatakan, kerajaan diberi masa sehingga 12 September lalu untuk memberi maklum balas mengenai pendedahan mereka terhadap kelemahan sistem ePenyata Gaji, bagaimanapun tidak mendapat maklum balas diharapkan.
Berikutan itu, mereka merancang menjual semua data yang diekstrak daripada ePenyata Gaji di beberapa pasaran pangkalan data terbuka mulai 19 September ini.-BERITA HARIAN