comscore
Tumpuan :
Nasional

Siasatan LCS diteruskan, SPRM akan lakukan pendakwaan kedua – PM

Kapal LCS yang masih di dalam pembinaan ketika lawatan media ke tapak pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak pada Ogos 2022. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) mesti diteruskan kerana pendakwaan peringkat awal sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia membabitkan skandal berskala besar dan ketirisan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendakwaan sebelum ini juga tidak bertindak kepada orang-orang yang lebih utama yang dikatakan terbabit dalam isu perolehan LCS.

Sehubungan itu beliau sudah menyatakan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan dipersetujui oleh mereka akan ada pendakwaan peringkat kedua.

“Namun, itu bukan urusan saya untuk mendalami dan bertanya lebih, nanti jika saya buat begitu akan ada tuduhan (yang menyatakan) wujud pendakwaan terpilih.

“Saya tegaskan siasatan LCS ini mesti diteruskan dan tindakan sebelum ini tidak cukup membongkar dan bertindak kepada orang yang lebih utama dikatakan yang terbabit. Biar siasatan diteruskan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) dalam sesi pertanyaan menteri (MQT) yang ingin mengetahui mengenai pendakwaan kes LCS yang sebelum ini dinyatakan Perdana Menteri pendakwaan itu tidak mencukupi.

Perdana Menteri menegaskan beliau setuju bahawa arahan kepada badan penguat kuasa sama ada SPRM mahu pun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menyeluruh dan tidak tertumpu kepada mana-mana parti.

Katanya, sesiapa saja yang didapati oleh SPRM dan dengan bukti kukuh boleh dikemukakan pendakwaan kepada Peguam Negara.

“Sebab itu kita kena terima pendakwaan dibuat Peguam Negara… ini termasuk kes LCS yang membabitkan beberapa pemimpin UMNO.

“Sebelum ini pun, ada Ketua UMNO Shah Alam yang didakwa tetapi ini tidak difokuskan,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan apabila bercakap mengenai keadilan, beliau menolak segala bentuk kezaliman dan fitnah.

Beliau juga meminta tidak dihukum hanya kerana ada kes pendakwaan membabitkan pemimpin politik tertentu.

“Apabila kita bercakap soal keadilan, kita kena tolak kezaliman dan fitnah, jangan hukum orang tanpa bukti.

“Kalau ada tindakan jangan hukum saya, jangan guna ayat al-Quran untuk hukum saya dan kata saya zalim.

“Yang Berhormat sebagai orang Islam, kita kena bertanggungjawab dan memastikan ada bukti dalam setiap pendakwaan, jangan buat tuduhan menyatakan Anwar campur tangan mendakwa sesiapa, kalau ada bukti nyatakan, kalau tidak ada (bukti) itu zalim namanya (kepada saya)… jangan guna nama agama dan sebut nama saya,” katanya.

Beliau menegaskan arahannya kepada badan penguat kuasa jelas bahawa apa pun tindakan yang di ambil perlu berdasarkan fakta dan bukti kukuh.

“Saya cakap jangan aniaya dan buat apa saja (tindakan) atas alasan longgar dan boleh dipertikai,” katanya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini