Tumpuan :
Nasional

Siasatan lanjut masih dijalankan, jangan buat spekulasi – Polis

PETALING JAYA: Polis mengesahkan pihaknya menerima laporan polis yang dibuat suami kepada seorang wanita yang meninggal dunia selepas empat hari menjalani suntikan membesarkan payudara.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin dalam kenyataan berkata pengadu, seorang lelaki tempatan dalam laporannya mengatakan isterinya meninggal dunia akibat daripada membuat rawatan kecantikan di sebuah pusat kecantikan di kawasan Mutiara Rini di Iskandar Puteri.

Laporan dibuat pengadu pada 2 Ogos lalu sekitar jam 12.31 tengah hari.

Menurut pengadu, selepas isterinya menjalani rawatan itu, mangsa mengalami sakit berterusan dan mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital swasta.

Artikel berkaitan: Ambil suntikan besarkan payudara, ibu kepada dua anak maut

Pada 2 Ogos, kira-kira jam 7.08 pagi mangsa disahkan telah meninggal dunia di hospital itu.

Mangsa 29, mempunyai dua orang anak lelaki usia sembilan dan 12 tahun.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut pada mulanya mangsa merancang untuk menjalani suntikan ‘menarik benang’ muka mikro untuk menjadikan kulitnya lebih tegang.

Namun ‘pakar kecantikan’ itu memujuk mangsa untuk menjalani suntikan pembesaran payudara.

Tambah laporan itu lagi, suami mangsa dikenali sebagai Wong mendakwa selepas melakukan proses suntikan itu, isterinya mengalami sakit dada.

Jelasnya, ketika isterinya cuba membayar perkhidmatan suntikan terbabit, jurusolek itu dilaporkan enggan menerima bayaran itu.

“Keesokan harinya (30 Julai), isteri saya masih sangat tidak sihat. Ditemani seorang rakan, dia pergi ke klinik berhampiran untuk konsultasi pada waktu tengah hari. Selepas berunding, doktor membuat kesimpulan bahawa ia disebabkan oleh ubat bius yang berlebihan.”

“Sekitar jam 7 malam, keadaannya tidak pulih. Lukanya masih sakit dan tidak selesa. Dia kemudian segera ke hospital swasta berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada pagi 2 Ogos selepas mengadu tidak boleh berjalan lagi,” katanya.

Upacara pengebumian mangsa diadakan di  Wisma Tiong Hua, Johor Bahru kelmarin.

Loading...
Terkini