Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pertama skandal rasuah yang didakwa melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah selesai.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya (DPP).
“Kes berkenaan telah pun selesai bagi kedua-dua individu (whistleblower dan bekas pegawai syarikat mineral) ini dan kes berkenaan kita telah kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPP).
“Saya difahamkan Polis diRaja Malaysia (PDRM) juga telah kemukakan fail mereka kepada TPP. Terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk koordinasikan sekiranya ada apa apa keputusan dituduh atau tidak daripada kes pertama,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.
Bagi kes kedua yang melibatkan lapan ADUN, hasil pendedahan sebuah portal, sehingga sekarang pihaknya hanya menyiasat berdasarkan video yang dikeluarkan dalam portal berkenaan.
“Kami tidak dikongsi atau dibekalkan oleh pihak berkaitan atau whistleblower berkenaan rakaman sebenarnya kepada kami.
“Dari segi penyiasatan kami telah merakam percakapan daripada pihak ADUN berkenaan dan juga saksi-saksi yang lain, termasuk juga whistleblower berkenaan bagi melengkapkan keterangan,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.