Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Tohmahan segelintir pihak yang mendakwa kononnya kerajaan campur tangan dalam sejumlah kes yang telah dituduh di mahkamah berkaitan isu hasutan khususnya membabitkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah tidak benar.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bukan berdasarkan laporan daripada pihak kerajaan, sebaliknya hasil laporan polis yang dibuat oleh wakil Istana Pahang.
“Pihak kerajan tidak masuk campur hal ini, siasatan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pendakwaan dibuat berdasarkan siasatan tersebut.
“Kerajaan tidak terlibat. Ada tohmahan dan dakwaan, yang penting diingatkan di sini laporan polis yang asal itu adalah dari Istana Pahang.
“Sama seperti kes hasutan terhadap Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), yang mana laporan polis dibuat wakil Istana Selangor,” katanya dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan kedua-dua kes hasutan berkenaan melibatkan isu 3R (raja, agama dan kaum) dan laporan polis dibuat oleh wakil istana serta tiada kaitan dengan kerajaan.
Semalam, Muhyiddin yang didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 14 Ogos lalu.
Ditanya mengenai dakwaan Pakatan Harapan (PH) meninggalkan ikrarnya untuk menyemak semula Akta Hasutan, Fahmi menafikannya.
“Tidak, kita pada waktu ini belum bincang isu Akta Hasutan, ada beberapa perkara sedang diberi pertimbangan dan saya minta rujuk dengan Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).
“Cuma dalam kes ini, saya tegaskan bukan kerajaan bawa kes ke mahkamah, tetapi laporan polis dibuat oleh wakil Istana Selangor dan Pahang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.