comscore
Tumpuan :
Nasional

Siasatan kes Faisal Halim merangkumi segala aspek – Ketua Polis Negara

FOTO: NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Polis memberi jaminan siasatan berkaitan kes serangan asid ke atas pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim meliputi segala aspek.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan meliputi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kesan cap jari dan rakaman keterangan beberapa individu sebelum ini.

“Kita memang menggunakan footage video ini ke arah siasatan kita, tak ada masalah daripada siasatan kita tu, katalah satu saksi cakap berbeza dengan apa yang ada dalam footage itu,  kita akan panggil saksi itu balik, memang kita akan panggil saksi itu,” katanya mengulas isu perbezaan maklumat awal kejadian dan rakaman CCTV.

Ujarnya lagi, semua aspek seperti penelitian CCTV, keterangan tambahan saksi dan juga keterangan daripada saksi-saksi baharu perlu diambilkira untuk membetulkan ketidaktepatan maklumat yang dilaporkan pada awal kejadian.

Terdahulu, tular rakaman CCTV dipercayai kejadian berkenaan di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, pada 5 Mei lalu.

Beliau menjelaskan setakat ini 23 individu telah diambil keterangan, dan berdasarkan fotofit yang didedahkan polis, belum ada mana-mana individu tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan kes.

“Orang awam pun tak ada yang beri maklumat apa-apa, kita pun mengharap (bantuan orang awam), sebab itu kita dedahkan fotofit itu untuk bantuan masyarakat sekiranya ada cam mata ke,” katanya.

Dalam serangan itu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini