BANTING: Siasatan polis berhubung kematian seorang mahasiswa anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah lengkap dan akan dihantar ke Mahkamah Koroner untuk prosiding inkues.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini hanya menunggu laporan perubatan rasmi termasuk hasil bedah siasat dan makmal daripada pihak hospital sebelum proses tersebut dilakukan.
“Dari segi mendapatkan keterangan saksi semua telah selesai. Kita cuma tunggu laporan bedah siasat dan laporan makmal daripada pihak hospital.
“Apabila sudah dapat laporan perubatan dan sebagainya, kita akan hantar maklumat berkenaan ke Mahkamah Koroner bagi prosiding inkues,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya telah merakam keterangan 34 individu bagi membantu siasatan kes kematian pelajar anggota PALAPES UiTM itu antaranya pegawai jurulatih, pegawai perubatan, pelajar serta pengadu dalam kes tersebut.
Dalam kejadian pada 10 November lepas, pelajar UiTM berumur 25 tahun itu dikatakan pengsan semasa menyertai sesi latihan di padang kawad sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan dan dilaporkan meninggal dunia tiga hari selepas itu.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.