PETALING JAYA: Kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan anak Menteri Besar Perlis dan beberapa individu lain dijangka siap minggu depan.
Memetik laporan media, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azmi Kamaruzaman berkata keputusan (hasil siasatan) minggu depan, mungkin selewat-lewatnya Rabu depan.
Sebelum ini anak lelaki Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli dilepaskan dengan jaminan SPRM pada 26 April lalu bersama empat individu lain yang turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tuntutan palsu RM600,000.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen membabitkan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmi menafikan dakwaan terdapat lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis akan ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Buat masa ini, dakwaan tersebut tidak betul,” katanya.
Azmi turut menafikan sekumpulan anggota SPRM Putrajaya berada di Perlis sejak beberapa hari lalu selepas mendapat maklumat baharu berhubung kes berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.