comscore
Tumpuan :
Nasional

Siasatan isu 3R terhadap Sanusi hampir selesai – Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Siasatan isu kes 3R (institusi diraja, agama, bangsa) membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah hampir selesai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ketika ini kertas siasatan itu sudah disiapkan lebih 90 peratus.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berdasarkan segala maklumat yang sudah dikumpulkan.

Ini termasuk keterangan daripada saksi yang berkaitan serta kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah itu.

Sebaik kertas siasatan selesai, kita (polis) akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan,” katanya seperti dipetik akhbar Berita Harian.

Laporan itu dipercayai dibuat beberapa jam sebelum keluar laporan bahawa Muhammad Sanusi akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang esok.

Razarudin berkata PDRM berusaha sedaya upaya dalam melengkapkan kertas siasatan ini dalam kadar segera untuk ke langkah susulan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Saya juga berpuas hati dengan proses siasatan yang sudah dilakukan termasuk kerjasama dari Muhammad Sanusi yang sudah datang untuk proses rakaman percakapan di Bukit Aman, 14 Julai lalu,” katanya.

Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah sebelum ini didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.

Menerusi video yang tular, Muhammad Sanusi didapati meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari oleh Sultan Selangor berbanding dirinya yang dianggap wajar dilantik sebagai Menteri Besar Kedah oleh Sultan Kedah.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Razarudin turut mengesahkan bahawa kertas siasatan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, juga hampir selesai.

“Kertas siasatan mereka juga turut akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, untuk tindakan susulan,” katanya.

Loading...
Terkini