Oleh: Siti Khadijah Jaafar.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, meneruskan siasatan lanjut dan menjalankan pemeriksaan di kediaman milik pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dan beberapa premis di sekitar Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang dihubungi BuletinTV3 berkata pasangan itu dibawa keluar pada jam 4.23 petang tadi bagi membantu pihaknya membuat pemeriksaan termasuk untuk mendapatkan dokumen berkaitan serta maklumat aset dimiliki pasangan berkenaan.
“Pegawai saya mengikuti mereka ke rumah mereka dan mana-mana premis berkaitan untuk dibuat siasatan lanjut.
“Pegawai saya dalam proses buat siasatan terhadap premis-premis dimiliki dua pasangan berkenaan untuk tujuan membuat siasatan lanjut, ambil dokumen dan sebagainya, jadi siasatan terhadap kedua-duanya masih berjalan, masih belum habis,” katanya
Terdahulu, selepas hampir tiga jam, pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Proses mengambil keterangan pasangan itu difahamkan selesai kira-kira jam 4.23 petang.
Mereka sepatutnya dijadualkan memberi keterangan pada pukul 10 pagi tadi.
Bagaimanapun kenderaan yang membawa Datin Vivy dan suaminya dilihat memasuki bangunan ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 12.54 tengahari.
Vivy dan Fadzaruddin antara enam individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, kelmarin.
Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan kes masih lagi di peringkat awal dan tumpuan adalah kepada pasangan suami isteri berkenaan untuk mendapatkan dokumen serta barang kes yang diperlukan.
“Dalam dua hari ini, kita ambil kenyataan (individu berkaitan) dan kemudian buat pemeriksaan dokumen dan aset-aset mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pasangan terbabit akan diambil keterangan lagi sama ada pada malam ini atau disambung esok.
“Apabila kita pergi mendapatkan dokumen atau apa-apa barang kes yang perlu, sudah tentu ia akan menyebabkan pegawai saya membuat persoalan mengenai pemilikan aset dan sebagainya untuk direkod dalam keterangan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan pihaknya sudah mengambil keterangan tiga lagi individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan siapa individu terbabit sama ada dari FashionValet, Khazanah atau PNB.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.