comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Siasatan dakwaan gangguan seksual, individu berkaitan akan dipanggil PDRM

 

KUALA LUMPUR: Susulan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang ketua pengarah sebuah agensi keselamatan, Bukit Aman akan memanggil individu berkaitan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pihaknya sudah pun membuka kertas siasatan susulan daripada laporan yang diterima polis.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (gangguan seksual), Seksyen 507A Kanun Keseksaan (kesalahan menghendap), Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (menggunakan perkataan kurang sopan).

“Siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Individu yang berkaitan akan dipanggil untuk siasatan kita,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual oleh seorang ketua pengarah sebuah agensi keselamatan terhadap seorang wanita seperti ditularkan di media sosial, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, ketika mengesahkan perkara itu berkata, satu kertas siasatan sudah dibuka susulan laporan polis yang diterima pada 14 November lalu.

Tular di media sosial satu salinan laporan polis oleh seorang wanita berusia 39 tahun yang bertugas sebagai penasihat kewangan yang dibuat di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, pada 14 November lalu.

Dalam laporan polis itu, wanita terbabit mendakwa ketua pengarah bergelar Datuk itu mengeluarkan kata-kata berbaur lucah terhadapnya pada pertemuan kali pertama mereka pada November tahun lalu semasa menawarkan peluang pelaburan.

Mangsa mendakwa ketua pengarah itu juga pernah beberapa kali mengajaknya untuk berjumpa di hotel dan pusat karaoke namun ditolak kerana tahu individu itu berniat jahat.

Selain itu, wanita terbabit mendakwa Datuk berkenaan mula melakukan gangguan seksual secara lebih serius sejak Ogos lalu dengan menghantar kira-kira 10 video serta gambar lucah melalui mesej di telefon bimbit.

Sehubungan itu, mangsa tampil membuat laporan polis kerana terlalu tertekan, trauma dan mengalami kemurungan dengan kejadian itu selain turut diugut agar tidak melaporkan perkara itu kepada sesiapa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini