Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti beberapa dokumen berhubung siasatan terhadap kepimpinan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, beberapa saksi juga sudah dipanggil untuk memberi keterangan.
“Setakat ini kita baru memulakan siasatan dan kita telah mengambl dokumen dan hanya ada beberapa individu telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada kami tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan pihak kami sedang meneliti dokumen-dokumen yang diperolehi,” katanya kepada Buletin TV3.
Beliau turut menafikan laporan kononnya siasatan dibuat susulan surat layang daripada pihak tertentu, sebaliknya ia dimulakan berdasarkan aduan dibuat pemberi maklumat.
BAM juga menurut beliau memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM.
Terdahulu, BAM dalam satu kenyataan mengesahkan pegawai SPRM telah mengunjungi pejabat badan induk itu minggu lalu bagi mendapatkan maklumat tertentu.
Kenyataan itu memaklumkan badan induk itu memberikan kerjasama penuh sepanjang kehadiran pegawai berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.