BAGAN DATUK: Kerajaan mengarahkan Lembaga Pelabuhan Johor dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) segera menyiasat dakwaan wujud kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, Johor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia tegas dengan pendirian tidak membenarkan syarikat perkapalan Israel berlabuh di pelabuhan di negara ini, apatah lagi melakukan urusan perdagangan.
Menurut beliau, siasatan terperinci harus dilakukan termasuk melihat kemungkinan kontena terbabit dihantar oleh pihak ketiga.
“Kita sangat terikat kepada dasar kerajaan. Pertama, kita memang tiada hubungan diplomatik dengan Israel dan kita pun tiada perjanjian perdagangan dengan Israel.
“Jika ada barangan Israel berada di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, perkara ini harus kita lakukan pemantauan.
“Pihak Lembaga Pelabuhan (Johor) dan JKDM harus bertindak segera kerana kita tahu yang berlaku ini bukan hanya soal perdagangan, namun bagaimana peraturan-peraturan begitu ketat terbolos,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengoperasian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk dekat Hutan Melintang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali.Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata, beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk mendakwa ada kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri.
Susulan itu, Pandak meminta pihak berkuasa dan kerajaan memberikan penjelasan mengenai dakwaan kononnya kontena-kontena dari Israel masih dibawa masuk ke negara ini, walaupun kerajaan sudah mengeluarkan larangan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, hasil siasatan berhubung dakwaan kewujudan kontena terbabit perlu dimaklumkan sesegera mungkin kepada kerajaan.
“Siasatan betul atau tidak mesti disegerakan,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Pada 7 Mei lalu, kerajaan dilaporkan tegas dengan pendirian tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel berlabuh di pelabuhan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia teguh dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat berpangkalan di Israel masuk ke negara ini.
“Tak ada (kapal dari Israel berlabuh). Kita tak benarkan,” kata Perdana Menteri.
Ia susulan laporan sebuah portal sebelum ini yang mendakwa kapal kargo milik syarikat Israel dikesan berlepas dari Malaysia, hujung April lalu.
Menurut laporan portal itu, kapal berkenaan berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April, sebelum berlepas sehari kemudian menuju ke Pelabuhan Shantou, China dengan menggunakan bendera negara Liberia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.