Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: “Saya tidak campur urusan (siasatan).”
Demikian penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disyaki menghina institusi diraja semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
“Setakat ini kita ikut jalur (undang-undang), serah pada siasatan (polis) dan juga Peguam Negara,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga Penguat Kuasa KPDN dan Peluncuran Portal Ihsan MADANI, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, segelintir pihak tidak bersetuju Muhyiddin disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin mendakwa undang-undang itu menindas dan tidak wajar digunakan.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Pengerusi Perikatan Nasional itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika ceramah umum PRK DUN Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.
Kelmarin, Muhyiddin dilapor menyerahkan beberapa dokumen kepada polis bagi membantu siasatan berhubung isu beliau itu, antaranya surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang meminta ahli Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.