Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Siasat empat negeri guna logo, tema Hari Kebangsaan berbeza – Fahmi 

 

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan menyiasat dakwaan empat negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza tahun ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau baharu sahaja menerima laporan berkenaan dan akan meneliti dengan terperinci kerana tidak mahu mewujudkan suatu jurang yang berbeza serta suasana tidak bersatu padu.

Katanya, beliau turut menyeru semua pihak mengenepikan soal politik kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sudah selesai baru-baru ini.

“Sebelum ini kita angkat bendera parti, sekarang kita ketepikan dan angkat bendera Malaysia. Tidak mahu ada sebarang fahaman politik kerana sekarang kita fokus untuk bersatu padu dan membangunkan negara.

“Sambutan Bulan Kebangsaan bukan bersifat politik, tetapi diadakan di peringkat negara,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Saluran Merdeka dan Kanak-Kanak Astro di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan empat negeri di bawah pemerintahan PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, hari ini.

Fahmi berkata, pihaknya mengakui aura Sambutan Kemerdekaan dalam kalangan orang ramai yang mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Ogos sangat berkurangan.

Menurutnya, beliau berharap pihak media dapat membantu dan memberi pesanan kepada rakyat agar menghentikan berpolitik dan sekarang tiba masanya untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Loading...
Terkini