KUALA LUMPUR: Meta Platforms Inc (Meta) telah memberi jaminan kepada kerajaan bahawa siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil esok tidak akan diturunkan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata jaminan tersebut telah diberikan oleh pegawai tertinggi Meta, bagi memastikan kelancaran siaran langsung tanpa sebarang gangguan bukan sahaja di platform media sosial pemimpin negara, tetapi juga oleh pihak media.
“Saya telah memberi penegasan dan amaran kepada pasukan Meta bahawa malam esok kita akan ada acara ini Himpunan Pembebasan Palestin, akan ada siaran secara langsung dan minta supaya mereka berikan kerjasama,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan kempen #KasiJadi J&T Express dan ulang tahun keenam syarikat penghantaran antarabangsa itu, di sini hari ini.
Beliau berharap pertemuan itu berjalan lancar kerana tidak mahu berlaku sebarang gangguan kepada siaran langsung termasuk di Facebook, TikTok dan platform media sosial lain akan berlaku pada masa hadapan terutamanya berkaitan Palestin.
Mengenai perhimpunan yang akan bermula pada 6 petang esok dan dihadiri oleh Anwar, Fahmi berkata kira-kira 20,000 orang dijangka hadir ke stadium tersebut. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.