KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menggesa rakyat Malaysia terutama agensi kerajaan, bersiap siaga menghadapi banjir berskala besar yang diramalkan berisiko melanda negara bermula hujung bulan depan.
Al-Sultan Abdullah meminta agensi kerajaan membuat persiapan rapi secara menyeluruh demi kemaslahatan masyarakat sekiranya ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) itu menjadi kenyataan.
Baginda menegaskan, persediaan agensi kerajaan itu bukan sekadar memfokus kepada usaha mengurangkan kesan banjir tetapi juga merangka kaedah bagi memastikan bantuan dapat diagihkan secara berkesan dan secepat mungkin.
“Kita sedia maklum bahawa saban tahun tatkala kehadiran November, Malaysia akan berdepan risiko berlakunya banjir.
“Baru-baru ini, METMalaysia telah meramalkan negara akan berdepan hujan lebat berterusan dan risiko banjir berskala besar mulai penghujung November depan.
“Beta meminta agar semua agensi berkaitan membuat persediaan rapi secara menyeluruh demi kemaslahatan ummah.
“Persediaan itu bukan hanya dalam aspek mengurangkan kesan banjir tetapi juga merangka satu kaedah supaya bantuan kepada mangsa banjir dapat diberikan secara terancang, segera dan efektif,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini. – BERITA HARIAN