Tumpuan :
Nasional

Siap sedia fenomena air pasang besar di Terengganu

FOTO: NSTP

DUNGUN: Polis menasihati penduduk supaya bersiap sedia untuk berpindah berikutan ramalan fenomena air pasang besar yang dijangka melanda negeri Terengganu, malam esok.

Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, nasihat itu perlu diambil serius terutamanya penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan pantai di negeri ini.

Menurutnya, fenomena air pasang besar ini juga dijangka akan sekali lagi melanda kawasan di penempatan penduduk yang dilanda banjir.

“Selain kawasan ini, fenomena ini dijangka turut melanda kawasan-kawasan yang tidak terkesan banjir dan penduduk turut diingatkan supaya bersedia untuk berpindah.

“Sebaik ramalan fenomena itu dikeluarkan, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri diadakan pagi ini,” katanya ketika melawat Balai Polis Kuala Jengai yang ditenggelami banjir, dekat sini, petang tadi.

FOTO: NSTP

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Dungun, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah dan Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Ismail Man.

Rohaimi berkata, pihak polis sudah mengambil beberapa langkah sebagai untuk berdepan dengan situasi di luar jangka itu berdasarkan pengalaman sebelum ini.

“Selain dengan kelengkapan sedia-ada, pihak kami juga bersiap-sedia dengan bantuan daripada beberapa syarikat yang menyalurkan bantuan seperti jentera berat dan kenderaan pacuan empat roda 4×4.

“Kenderaan itu bagi memudahkan pihak penyelamat untuk masuk ke kawasan yang teruk ditenggelami banjir untuk misi menyelamat dan menghantar bekalan banjir,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap kepada penduduk untuk berpindah awal sebelum persekitaran kediaman mereka terkepung dengan banjir.

“Golongan ibu bapa juga perlu mengambil serius pergerakan anak-anak supaya tidak bermain banjir bagi mengelak sesuatu kejadian yang tidak diingini seperti lemas,sengatan binatang berbisa, kebocoran arus elektrik,”katanya.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, meramalkan sebanyak 44 kampung di Terengganu berisiko berdepan banjir berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka melanda negeri Terengganu, mulai esok.

Ramalan itu juga dijangka membabitkan kampung yang terletak berhampiran 11 muara sungai dan pantai di negeri ini.

Loading...
Terkini