comscore
Tumpuan :
Nasional

Shuib & Watie bernikah

Shuib dan Watie menunjukkan cincin yang dipakai mereka pada majlis pernikahan itu. Foto NSTP.

SUBANG JAYA: Pelawak dan penyampai radio, Shahmira Muhamad atau Shuib sah menjadi suami kepada usahawan, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah atau Watie, dengan sekali lafaz. Pasangan itu dinikahkan abang pengantin perempuan, Qadhaffi Hanifiah di Putra Glass House, Putra Heights di sini, disaksikan Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchung, Zubairi Ghazali, pada jam 8.48 malam tadi.

Pada majlis yang berlangsung sederhana itu, Shuib menyerahkan mas kahwin bernilai RM8,288 serta lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang. Pasangan pengantin memilih pakaian rona putih gading ciptaan Fizi Woo pada majlis berkenaan.

Sementara itu pada acara membatalkan air sembahyang, Shuib menyerahkan sebentuk cincin dan sejambak bunga sambil diiringi lontaran vokal, Lah Ahmad yang mendendangkan lagu Ayu.

Watie mencium tangan Shuib pada majlis pernikahan mereka di Putra Heights, malam tadi. Foto : NSTP.

Kira-kira 600 tetamu hadir bagi menyaksikan majlis penuh bermakna itu. Antara tetamu yang hadir ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad. Turut hadir, pakar motivasi, Datuk Fadhilah Kamsah; pendakwah, Ustaz Don dan Asyrad Ridzuan serta selebriti Fad Bocey, Nabil Ahmad, Sharifah Shahirah, Dafi, Fasha Sandha, MK, Zara Zya dan ramai lagi.

Majlis pernikahan itu mendapat tajaan hampir RM1.7 juta membabitkan penganjuran tiga majlis iaitu majlis khatam Al-Quran, malam berinai dan akad nikah.

Shuib dan Watie 35 tahun bertunang pada majlis tertutup di kediaman usahawan itu di Shah Alam pada 6 Mei lalu. Sebelum ini, Shuib 38 tahun mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Siti Sarah Raissuddin pada 2011. Bagaimanapun, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Loading...
Terkini