Oleh: Kumaran Rajamoney
TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menambah lima barangan dibawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Tahun Baru Cina, tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penentuan barangan yang ditambah dalam senarai SHMMP ini dilakukan menerusi perbincangan yang diadakan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Lima barangan itu adalah cili merah, bawang kuning besar, bawang merah besar import, sawi pendek bagi semenanjung Malaysia manakala kepak ayam bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kita membuat penentuan ini mengambil kira maklumat mengenai keberadaan sumber dan harganya yang kita boleh kawal serta faktor-faktor lain. Ini termasuk soal komitmen peniaga kerana ia perlu melibatkan situasi menang-menang.
“Kita tidak boleh membebankan golongan peniaga dalam situasi ini. Jadi KPDN tidak bertindak sesuka hati. Kita pastikan peniaga di semua peringkat ada margin keuntungan yang berwajaran. Kalau mahu jual lebih murah, kita sangat alu-alukan,” katanya.
11 barangan lain yang turut disenaraikan dalam SHMMP Tahun Baru Cina adalah ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor), udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram), kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), ubi kentang import (China), bawang putih (China), halia tua (import), lobak merah, lobak putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Katanya, skim ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, dan semakan harga barangan boleh dilakukan laman web KPDN.
Dalam perkembangan lain, KPDN juga katanya meneruskan inisiatif Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sempena musim perayaan yang dilancarkan Oktober lalu.
“Setakat 20 Januari, sejumlah 472 PJRM Tahun Baru Cina telah dilaksanakan di seluruh negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Jualan Rahmah Madani dan pengumuman SHMMP Tahun Barui Cina 2025 di sini, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.