AMPANG: Penyanyi Shila Amzah, 33, dan pempengaruh media sosial, Ubai Mz, 25, disatukan sebagai suami isteri dalam satu majlis pernikahan di Boathouse Ampang, pagi tadi.
Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan yang juga penyanyi era 1980-an, Datuk ND Lala jam 10.27 pagi, dengan disaksikan jurunikah, Ustaz Hai Mohamad Khairi Hussein.
Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Hamzah menerima mas kahwin RM20,000 daripada Ubai, manakala hantaran dirahsiakan.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat llahi atas kelancaran majlis pernikahan, pagi ini. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati Allah.
“Saya lega kerana selepas melalui fasa pertunangan pada 27 Mei lalu, kami disatukan sebagai suami isteri di hadapan ahli keluarga terdekat dan sahabat yang disayangi.
“Harapan semoga kami dapat menjalani bahtera perkahwinan ini sebaiknya dan saling menyayangi hingga ke Jannatul Firdaus.
“Apa yang paling penting kami dapat menjaga anak, Seth Uwais dengan penuh kasih sayang,” katanya kepada BH Online.
Sementara itu, Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli berkata, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
“Insya-Allah, saya sudah bersedia dan akan menjadi suami dan ayah yang terbaik untuk Shila dan Seth. Doakan semoga ikatan perkahwinan terus mekar dan kekal sehingga ke akhir hayat,” katanya.
Mengenai lokasi berbulan madu, Ubai mengakui mereka belum ada perancangan kerana sibuk dengan tuntutan kerja.
“Disebabkan kekangan masa, kerja dan menguruskan hal peribadi keluarga, kami belum memilih lokasi berbulan madu.
“Namun, mungkin akan ada percutian pendek dalam negara terlebih dahulu,” katanya.
Majlis pernikahan itu dihadiri rakan artis antaranya Zara Zya, Marsha Milan, Amylea, Jihan Muse, Jaclyn Victor dan Haziq Hussni dan Fara Fauzana.
Dalam pada itu, terdapat dua majlis resepsi akan diadakan secara sederhana membabitkan ahli keluarga, artis dan rakan kongsi dari pelbagai negara.
Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais, berusia 4 tahun.