KUALA LUMPUR: Selebriti tanah air Nurshahila Amir Hamzah menjelaskan dia tidak berniat merahsiakan kehamilannya selepas hampir lima bulan mendirikan rumah tangga bersama pasangannya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli.
“Ada sebab kenapa kami baru beritahu semua orang untuk memastikan tempoh kehamilan ini berjalan lancar.
“Saya nak pastikan proses awal kehamilan berjalan lancar terlebih dulu. Terima kasih kepada yang mendoakan kami sebelum ini.
“Doakan agar kandungan ini selamat dan dipermudahkan segala-galanya,” katanya.
Bagaimanapun, Shila tidak memaklumkan dengan lebih terperinci mengenai kehamilannya termasuk usia kandungan ketika ini.
Pada 5 Ogos lalu, Shila dan Muhammad Ubaidillah bergelar suami isteri dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Boathouse Ampang.
Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia 5 tahun.